LEE LAM THYE
Pakar Kriminologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Mohammad Rahim Kamaluddin berkata, mangsa yang berasa dirinya bertuah kerana dipilih untuk berkenalan sanggup mengeluarkan duit berjuta ringgit bagi mendapatkan hadiah tertentu yang ditawarkan sebagai tanda persahabatan antara mereka.
“Walaupun pihak polis dan media sering menghebahkan mengenai kegiatan sindiket seumpama itu di media massa, masih ramai lagi yang mudah mempercayainya,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas pendedahan Timbalan Pengarah Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Roslan Abd. Wahid bahawa wanita Malaysia terus tertipu dengan jerat cinta lelaki Afrika dan angka penipuan itu semakin meningkat dan sukar dibanteras.
Roslan memberitahu, sebanyak 407 wanita dilaporkan menjadi mangsa sejak 1 Januari tahun ini sehingga kelmarin dengan mencatatkan kerugian RM19.2 juta.
Ditanya mengenai trend terbaharu Love Scam itu, Mohammad Rahim memberitahu, suspek kini dilihat tidak lagi ‘bergerak’ seorang diri.
“Ini bermaksud, untuk me­n­yakinkan lagi mangsa, rakan kongsi suspek akan menghantar mesej dan berpura-pura memperkenalkan diri kepada mangsa yang kononnya dia adalah rakan atau saudara terdekat kepada lelaki yang baharu dikenali mangsa.
“Malah dia akan memberitahu mangsa yang lelaki tersebut sa­ngat gembira dapat berkenalan dengan wanita itu dan dia benar-benar ikhlas untuk mengahwini­nya,” ujarnya.
Sementara itu, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye memberitahu, pihak penguat kuasa seharusnya memikirkan pendekatan baharu bagi mendekati remaja wanita khususnya kerana strategi sedia ada kurang berkesan.
Tambah beliau, meskipun kebanyakan mangsa adalah wanita, namun golongan lelaki juga tidak terkecuali menjadi mangsa Love Scam itu.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan kenalan baharu dan tawaran yang dibuat.