Sunday, September 28, 2014

Sejarah Saari Sungip, IRC, ABIM dan PAS didedahkan

September 23, 2014 Berita Utama #2, Utama 1      

      
saari sungip
23 Sept – ADUN Hulu Kelang Saari Sungip terus dibidas apabila mempersoalkan teguran Presiden PAS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berhubung tindakannya bersama Hasnul Baharudin (ADUN Morib) yang melanggar amanah dan baiah parti.

Terbaharu, ahli PAS Kuala Selangor Ahmad Hakimi Othman menulis di facebooknya mengatakan bahawa sejarah penglibatan Saari Sungip dalam IRC dan PAS sepatutnya dihargai oleh Saari, bukannya dibalas dengan pengkhianatan.
Menurutnya, Saari berkelulusan Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh dan kemudiannya melanjutkan pengajian di Birmingham UK dan menyertai gerakan pelajar Islamic Representative Council (IRC).
“Sepanjang tahun 1980-1990, telah berlaku beberapa peristiwa yang melibatkan IRC.
“Antaranya perpecahan ABIM yang menyebabkan tertubuhnya HALUAN (ABIM Perlis) pada tahun 1988 yang diketuai oleh Ustaz Dahlan Mohd Zain.
“Krisis kepercayaan dalam PAS berlaku apabila Mustafa Kader yang pernah menjawat jawatan tertinggi di peringkat Pemuda terlibat dalam jaringan rancangan IRC. Dalam Organ Parti seperti Harakah, Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok dijadikan payung mereka atas budi membantu Dr Daeng membangunkan Harakah sebagai organ parti ketika itu. Dalam krisis ketika itu, Dr Daeng sedikit terpalit dengan perancangan perancangan mereka dari IRC.
“Akhirnya, kemuncak bila tidak dapat menembusi secara total dalam ABIM dan PAS, mereka membina jemaah frontline yang dinamakan Jemaah Islah Malaysia (JIM) yang diasaskan pada 27 Julai 1990. Pengerusi Penaja NGO ini, tidak lain dan tidak bukan ialah Saudara Saari Sungip yang seterusnya menjawat Jawatan Pengerusi JIM sehingga 1999.
“JIM di bawah kepimpinannya juga cuba menyatukan dengan HALUAN pada tahun 1995 tetapi tidak berjaya.
“Kalau dilihat dari jalur waktu sejarah, tertubuhnya JIM serentak dengan kemenangan PAS di Kelantan pada tahun 1990. Pada masa itu, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tengah memuncak karier politiknya di dalam UMNO.
“Malah, kalau dilihat dari jalur kesatuan pelajar, tokoh-tokoh pelajar MISG (persatuan pelajar di Amerika Syarikat) yang menyertai beliau ialah Wan Hasni Wan Sulaiman yang pernah menjawat Timbalan Ketua Pemuda UMNO Kelantan dan pengerusi ABRAR INC. Turut bersama Abdul Rahim Ghouse, Mantan Presiden MISG sebelum Wan Hasni yang menjadi Ketua Pemuda Pulau Pinang dan juga bersama Wan Hasni membina ABRAR INC.
“MISG dan IRC punyai hubungan yang agak erat di kalangan penggerak persatuan pelajar di luar negara. MISG yang berpusat di illinois, Amerika, manakala kumpulan IRC bergerak di UK. Ramai juga, lepasan lepasan ABIM turut sama menyertai MISG lantas secara tak sedar membina jaringan langsung dengan UMNO di bawah pimpinan DSAI.
“Maka tidak hairan ketika itu, tatkala Anwar berada di puncak kuasa UMNO, tokoh-tokoh IRC menguasai di sektor pendidikan di UIA, USM Kubang kerian, di UTM, di UM dan lain-lain lagi.
“Dalam masa yang sama Saari Sungip juga terlibat dalam bidang kejuruteraan mempunyai hubungan secara langsung dalam urusan perniagaan bersama agensi agensi kerajaan yang ketika itu mendapat faedah bekerjasama dengan DSAI.
“Pertembungan DSAI dan PAS ketika itu juga turut dibantu oleh JIM dalam menaikkan imej islamisasi DSAI. Malah membantu DSAI untuk beliau merampas balik Kelantan dari PAS pada tahun 1995.
“Maka tidak hairan ucapan ucapan DSAI, kosa-kata yang digunakan oleh Anwar Ibrahim seperti masyarakat madani, maqasid syariah, islamisasi turut diucap oleh pimpinan pimpinan IRC/JIM/IKRAM sehingga hari ini.
“Tahun 1998, berlakunya reformasi apabila DSAI dipecat dari UMNO. Maka tatkala JIM/IRC sudah hilang kepentingan dalam UMNO, mereka bangkit membela DSAI seterusnya bersama-sama dengan PAS yang menggerakkan GERAK yang dipimpin oleh Almarhum TG Fadhil Noor ketika itu.
“Permusuhan DSAI dengan Mahathir Mohamad ketika itu menyebabkan beberapa tokoh IRC, PAS disumbat ke dalam tahanan ISA.
“Pengikut yang dahulu masuk UMNO kerana umpanan DSAI juga turut masuk ISA. Saari Sungip, Abdul Malik Hussin, Ahmad Zahid Hamidi, Ezam Mohd Nor dan ramai lagi ditahan atas penglibatan mereka bersama DSAI ketika reformasi 1998.
“Di saat itulah, nama-nama Saari Sungip, Dzulkefly Ahmad, Nizar, Zulkifly Omar muncul satu persatu dalam PAS.
“Dalam PRU 1999, Saari Sungip bertanding atas tiket Keadilan di Parlimen Paya Besar tetapi kalah.
“Pada 2004, Saari Sungip bertanding atas tiket PKR di Parlimen yang sama iaitu Paya Besar, juga kalah kepada Dato’ Seri Dr Hajjah Siti Zaharah Sulaiman.
“Akhirnya pada tahun 2008, Saari Sungip bertanding atas tiket PAS selepas menyertai PAS dan menang di DUN Hulu Klang dalam Parlimen Gombak. Dia mengulangi bertanding pada 2013 sehingga masih bergelar YB sehingga hari ini.
“Kalau dilihat kisah ini, lihat betapa PAS memberi ruang dan kemaafan untuk Saari Sungip dan kawan-kawannya bergerak dalam PAS. Namun madu yang diberi, tuba yang dibalasnya. Tindakan membelakangi keputusan PAS menerusi Presiden dan Majlis Syura langsung tidak diambil perhatian apabila baiah atas nama ALLAH.
“Malah, dengan bangganya hari ini menyebut dalam akhbar untuk mempersoalkan tindakan muktamirin PAS mendesak beliau diambil tindakan oleh Jemaah dan doa kepada ALLAH. Lihatlah sejarah ini. Siapa khianat siapa?” tulis beliau.
 

No comments:

Post a Comment