KUALA LUMPUR, 26 Okt — Britain dan Amerika Syarikat terkenal dengan yuran mahal dalam pengajian universiti.
Namun dua negara itu tidak mendahului senarai dalam tempat ibu bapa berbelanja tertinggi untuk pengajian universiti anak mereka, lapor portal Business Insider.
Senarai di bawah menunjukkan sesetengah ibu bapa sanggup berbelanja 90 peratus daripada pendapatan mereka untuk ijazah sarjana muda anak mereka di institusi awam.
Seperti dilaporkan portal tersebut, senarai ini disediakan berdasarkan yuran pengajian bagi ijazah sarjana muda sebagai peratusan pendapatan isi rumah seluruh dunia.
Maklumat berikut hasil analisa laman pembekal B2B atas talian Expert Market terhadap data yuran pengajian daripada Quacquarelli Symmonds (QS) Top Universities bagi tahun akademik 2014/2015 dan data laporan Gallup Median Self-Reported Income 2013.
10. Singapura
Kos keseluruhan yuran pengajian: US$35,400 (RM150,557)
Peratusan gaji yang dibelanja untuk yuran pengajian: 36 peratus
Negara pulau Singapura hanya mempunyai lima universiti awam dan yuran mata pelajaran perubatan dan sains biasanya sangat tinggi.
Bagaimanapun, Singapura negara ketiga terkaya di dunia dan pendapatan yang tinggi bermakna ibu bapa hanya berbelanja satu pertiga daripada gaji mereka untuk memastikan anak mendapat sekurang-kurangnya ijazah.
9. Britain
Kos keseluruhan yuran pengajian: US$40,290 (RM171,355)
Peratusan gaji yang dibelanja untuk yuran pengajian: 42 peratus
Yuran universiti di Britain sangat tinggi sehingga mereka membelanjakan hampir separuh purata pendapatan isi rumah. Bagaimanapun, ia berada di tangga kesembilan kerana gaji mereka yang tinggi.
Yuran pengajian di Britain boleh mencecah US$13,654 (RM58,071) setahun bergantung kepada bidang dan universiti.
8. Lithuania
Kos keseluruhan yuran pengajian: US$23,904 (RM101,664)
Peratusan gaji yang dibelanja untuk yuran pengajian: 48 peratus
Pada 2009, pelajar berdemonstrasi di ibu negara Lithuania, Vilnius, bagi menentang reformasi pendidikan kerana menyangka ia akan meningkatkan kos ke universiti.
Kebimbangan mereka ternyata benar apabila ibu bapa terpaksa berbelanja hampir separuh gaji mereka untuk membayar yuran pendidikan tinggi.
7. Ukraine
Kos keseluruhan yuran pengajian: US$23,200 (RM98,670)
Peratusan gaji yang dibelanja untuk yuran pengajian: 52 peratus
Pada satu masa, Ukraine mempunyai lebih banyak universiti daripada jumlah kampus-kampus di Itali, Perancis, Jerman, Poland dan Belgium digabungkan.
Negara itu mengecilkan jumlah universiti daripada 900 kepada cuma kurang daripada 200 sejak tiga tahun lalu. Sesetengah daripadanya mempunyai institut tentera khas, jadi graduan boleh terus masuk ke angkatan tentera.
6. Amerika Syarikat
Kos keseluruhan yuran pengajian: US$91,832 (RM390,566)
Peratusan gaji yang dibelanja untuk yuran pengajian: 53 peratus
Amerika Syarikat (AS) dikenali dengan yuran pengajian yang sangat tinggi. Walaupun jumlah di atas merupakan kos purata bagi ijazah di AS, yuran pengajian dari universiti paling berprestij di negara itu (yang juga paling berprestij di dunia) boleh mencapai sekitar US$45,278 (RM192,569).
5. Malaysia
Kos keseluruhan yuran pengajian: US$18,000 (RM76,554)
Peratusan gaji yang dibelanja untuk yuran pengajian: 55 peratus
Malaysia mempunyai lebih kurang 20 universiti dan yurannya masih kompetitif berbanding negara lain di dunia.
Bagaimanapun, purata gaji tempatan masih RM2,052 ($470) sebulan. Maknanya, tanpa biasiswa atau pinjaman, ibu bapa akan kehilangan lebih separuh gaji mereka untuk yuran pengajian.
4. Chile
Kos keseluruhan yuran pengajian: US$23,600 (RM100,371)
Peratusan gaji yang dibelanja untuk yuran pengajian: 73 peratus
Gelombang besar bantahan pelajar di antara 2011 hingga 2013 sehingga digelar “Salji Chile”— cuba untuk menamatkan institusi pendidikan tinggi yang mengaut untung kerana keluarga miskin tidak mampu menghantar anak mereka ke universiti.
Kajian Pertubuhan untuk Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) menunjukkan purata pendapatan isi rumah di Chile hanya US$17,773 (RM75,589), bermakna keluarga akan lumpuh dari segi kewangan demi menanggung yuran pengajian.
3. Estonia
Kos keseluruhan yuran pengajian: US$38,400 (RM163,317)
Peratusan gaji yang dibelanja untuk yuran pengajian: 76 peratus
Kerajaan Estonia mengangkat sains dan teknologi sebagai keutamaan negara pada 2011 ekoran jumlah pelajar dalam bidang-bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) menurun pada 1990-an.
Walaupun kemasukan bertambah sejak beberapa tahun lalu, bidang-bidang ini membawa beban tertinggi dari segi yuran.
2. Romania
Kos keseluruhan yuran pengajian: US$25,200 (RM107,176)
Peratusan gaji yang dibelanja untuk yuran pengajian: 86 peratus
Romania memiliki ramai pelajar sains dalam sistem pendidikan tinggi mereka, terutamanya bidang perubatan .
Bagaimanapun, memandangkan rakyat hanya memperolehi secara purata 2563 leu (RM2,768) sebulan, hanya mereka yang kaya mampu menghantar anak ke universiti.
1. Hungary
Kos keseluruhan yuran pengajian: US$34,200 (RM145,454)
Peratusan gaji yang dibelanja untuk yuran pengajian: 92 peratus
Ibu bapa di Hungary membelanjakan hampir keseluruhan pendapatan tahunan untuk pendidikan tinggi setiap tahun, jadi yang mampu cumalah mereka yang berpendapatan tinggi, mempunyai simpanan atau sangat bergantung kepada pinjaman.
Bagaimanapun, kerajaan membenarkan pelajar mendapat pendidikan universiti percuma asalkan mereka tinggal di negara itu 10 tahun selepas tamat belajar, atau terpaksa membayar semula yuran pengajian.
- See more at: http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/malaysia-ke-5-paling-mahal-yuran-universiti-di-dunia.-sembilan-lagi-di-mana#sthash.ULUZIyEU.dpuf
No comments:
Post a Comment