‘HOMELAND’ PERTAMA YAHUDI SUDAH LAMA DITUBUHKAN DI RUSSIA
(Bacaan 8 minit)
Ada pun bangsa Yahudi pernah diberi tanah percuma untuk mereka bina negara sendiri. Tanah atau wilayah yang saya maksudkan ini umurnya 14 tahun lebih tua dari negara haram Israel, bahkan ia masih ada, masih wujud. Justeru apa sebab mereka masih mahu renggut tanah Palestin?
Tuan-tuan dan puan-puan, wilayah yang saya maksudkan ini adalah ‘Israel’ yang tidak ditubuhkan dengan merampas tanah sesiapa, dan memang ditubuhkan untuk menempatkan kaum Yahudi seramai mungkin dalam sebuah wilayah.
Ia dikenali sebagai ‘Jewish Autonomous Oblast’ (Wilayah Autonomi Yahudi) di wilayah Birobidzhan, Russia. Letaknya di bahagian paling timur (Russian Far East) bersempadan dengan Republik Rakyat China (PRC). Oblast bermaksud ‘wilayah, zon atau provinsi’ dalam bahasa Russia. Keluasan tanah yang indah dan aman ini adalah 36,000 km persegi, hampir seluas negeri Pahang Darul Makmur dan 14,000 km persegi lebih besar dari Israel.
Ditubuhkan secara rasmi pada 6 Mei 1934, JAO masih satu-satunya wilayah autonomi di Russia sejak zaman Kesatuan Soviet lagi. Bandar Birobidzhan (sebut Birobijan) menjadi bandar pentadbiran JOA sehingga ke hari ini.
Desain benderanya agak unik. 7 jalur pelangi melintang di atas kanvas putih, sebagai simbol kegembiraan, keamanan dan kebaikan. Ia juga melambangkan 7 cabang lilin Menorah, yakni simbol tradisi bangsa Yahudi. 7 cabang Menorah adalah simbol penciptaan alam dalam 7 hari oleh Tuhan Yahweh. Bendera rasmi ini mula digunapakai pada Oktober 1996. Malang jadinya apabila bendera pelangi JAO hari ini mirip sekali dengan bendera kebanggaan kaum LGBTQ. Bezanya bendera JAO berlatar belakang warna putih yang bermaksud kesucian, dengan jalur warna emas, indigo dan biru gelap, yang mana pada bendera LGBTQ adalah kuning, ungu dan biru terang.
Individu yang mencetuskan idea penubuhan JAO ini adalah Vladimir Lenin, pemimpin parti Bolshevik yang memperkenalkan polisi atheisme tak bertuhan. Idea Lenin mahu beri ‘homeland’ untuk bangsa Yahudi kedengaran agak ganjil. Ada pun tujuan utamanya adalah untuk menunjukkan kerajaan Bolshevik pimpinannya mengamalkan sikap toleransi. Lenin sebenarnya mahu meraih sokongan kaum Yahudi dan mengekang pengembangan ideologi Zionis Sosialis dalam kalangan Yahudi haluan kiri, yang dilihat mampu menyaingi Marxisme di Russia.
Lenin juga dikatakan berimpian memajukan wilayah paling timur Russia itu dengan mengumpulkan kaum Yahudi (dan lain-lain etnik Russia). Beliau mahu mewujudkan sebuah penempatan Yahudi yang menurutnya ‘berjiwa sosialis dalam tubuh nasionalis’. Setelah kematiannya pada 1924, idea penubuhan wilayah Yahudi di Russia diteruskan pemimpin baharu Bolshevik, iaitu Joseph Stalin.
Saya pula syak niat asal penubuhan JAO ini tidak lain hanya bertujuan untuk menyingkirkan kaum Yahudi nun jauh di hujung timur Russia. Wilayah tersebut sering diceroboh tentera China dan pemberontak anti-Bolshevik. Sekurang-kurangnya bila ada sejumlah kaum Yahudi di situ, bolehlah mereka ‘menampan’ pencerobohan di perbatasan Soviet ketika itu. Ringkas kata, ini kerja serampang dua mata.
Tiada negara yang mengalu-alukan bangsa Yahudi di Eropah ketika itu. Kaum Yahudi Russia terkenal dengan kekayaan hasil daripada menjalankan pelbagai jenis perniagaan. Selepas kejatuhan Tsar, Russia dipaksa menganut Marxisme dan sektor perniagaan milikan peribadi diharamkan. Kaum Yahudi yang dahulunya kaya-raya, tiba-tiba jatuh miskin. Pada 1924, kadar pengangguran dalam masyarakat Yahudi Russia adalah 30%. Antara penyebabnya adalah tindakan ‘pogrom’ (pembersihan etnik) yang mensasarkan kaum Yahudi dalam Empayar Russia. Zaman sebelum Bolshevik pun, Tsar Russia memang tidak suka dengan kaum Yahudi.
Justeru, bagi memastikan kaum Yahudi kembali menyumbang kepada ekonomi Soviet, kerajaan menubuhkan ‘Komzet’, jawatankuasa untuk penempatan pertanian kaum Yahudi.
Untuk mendapat kepastian sama ada wilayah JAO itu sesuai untuk didiami, Stalin telah menghantar kumpulan jawatankuasa pengkaji untuk menilai keadaan cuaca dan tanah di wilayah tersebut. Jawatankuas
a itu mendapati tanah di wilayah sekitar Birobidzhan agak berbatu, hutan oak, cedar dan painnya agak tebal, banyak juga kawasan berpaya dan pada musim panas, serangan serangga perosak agak teruk, justeru tidak sesuai untuk tanaman mahu pun ternakan. Pun begitu, bagi Kesatuan Soviet, tiada apa yang tidak boleh dibuat atau dicipta. Idea JAO tetap dilaksanakan.
Sebenarya semasa kajian tersebut dibuat, wilayah Birobidzhan sudah dihuni 30,000 masyarakat etnik Cossak, Korea, Kazakh dan beberapa etnik lain, termasuk golongan bekas pengikut Tsar Russia.
Dipendekkan cerita, kumpulan pertama Yahudi Russia yang berpindah ke JAO adalah seramai 654 orang pada 1928. Untuk menggalakkan lebih ramai kaum Yahudi memulakan hidup di JAO, kerajaan Soviet menghadiahkan tanah ladang, haiwan ternakan dan alatan pertanian. Idea berpindah ke JAO disambut baik dengan penuh kesyukuran oleh Yahudi Russia, kerana Yahudi adalah satu-satunya bangsa di dunia yang tak punya tanah mahu pun negara.
Sekitar tahun 1930an, tauke-tauke besar Yahudi dari USA dan Brazil pun turut berpindah ke JAO. Pada 1932, keluarga perisik terkenal Russia di kemudian hari, George Koval tiba di Birobidzhan. 1,200 Yahudi non-Soviet memilih untuk memulakan hidup baharu di situ.
Kaum Yahudi di JAO bertambah kepada 20,000 orang pada tahun 1937. Idea penubuhan JAO itu nampaknya menjadi dan berjalan lancar. Kedai-kedai dan perusahaan milik Yahudi tumbuh, kuil Yahudi didirikan, akhbar berbahasa Yiddish juga diterbitkan, manakala sekolah Yiddish juga dibuka untuk anak-anak kaum Yahudi.
Namun populasi Yahudi di JAO adakalanya menaik dan menurun. Disebabkan cuaca dan faktor bumi JAO yang begitu ekstrim, penduduk Yahudi dan etnik-etnik lain mula menurun. Kerajaan Soviet juga tidak sepenuhnya menepati janji untuk membantu golongan Yahudi membina hidup baharu di JAO. Bagi yang berkemampuan, mereka angkat kaki keluar ke negara baharu. Yang tak mampu, terpaksalah teruskan hidup di situ. Faktor lain yang menyebabkan penurunan jumlah masyarakat Yahudi JAO adalah dasar ‘Red Terror’ Joseph Stalin antara 1936-1938 yang ironinya turut menjadikan kaum Yahudi sebagai sasaran.
Selepas Perang Dunia Kedua tamat pada 1945, idea untuk menempatkan pelarian Yahudi Eropah di JAO mula dilaksanakan. Pada 1948, populasi Yahudi meningkat kepada 46,000 ke 50,000 orang, yakni 25% dari populasi keseluruhan JAO ketika itu.
Pada 1958, lebih kurang 50% masyarakat Yahudi meninggalkan JAO. Ada yang berpindah semula ke USA dan juga ke Israel.
Hari ini, jumlah kaum Yahudi yang menetap di JAO hanyalah 1% daripada lebih kurang 162,000 keseluruhan penduduk JOA. Majoriti penduduk JAO adalah penganut Kristian pelbagai aliran, diikuti penganut atheisme, manakala terdapat juga 1% masyarakat Muslim di JAO.
Ada ura-ura di Moscow untuk menutup JAO dan diserap ke dalam wilayah lain sekitarnya, namun idea itu mendapat tentangan dari masyakat JAO, terutama kaum Yahudinya. Sungguh pun jumlah penganut Yahudinya kecil, terbukti JAO tetap menjadi ‘safe heaven’ kepada mereka berbanding jika mereka tinggal di Israel, atau mana-mana negara lain.
Di JAO mereka bebas mengamalkan Judaisme dan mengekalkan budaya tradisi Yiddish. KeYahudian wilayah JAO bagi mereka harus terus dikekalkan dan dipertahankan. Bandar Birobidzhan kini indah dengan binaan-binaan asal dan baharu, arca-arca artistik dan sekiranya Moscow menyokong pembangunan di situ, JAO mungkin akan terus berkembang pesat. Dengan penggunaan teknologi, sektor perindustrian dan pertanian juga semakin berkembang di JOA.
Ramai juga penduduk Yahudi yang pernah berpindah ke Israel pulang semula ke JAO. Jelas sekali hidup mereka lebih aman di JAO berbanding di Israel.
Presiden Vladimir Putin juga amat mengalu-alukan kaum Yahudi untuk kembali ke Russia. Pada Januari 2016, Putin berkata di hadapan Kongres Yahudi Eropah: “Mereka (Yahudi) meninggalkan Russia pada zaman Soviet, tapi kini mereka boleh kembali”.
Jadi bolehlah Yahudi sama ada Orthodoks mahu pun Zionis Sekular pergi menetap dan bina negara sendiri di JAO. Wilayah ini bersempadan dengan China, ada harapan tempias kemakmura
n ekonomi di China akan turut masuk ke JAO. Potensi JAO lebih besar dari Israel di Palestin. Jiran-jiran JAO pun ‘mesra Yahudi’ belaka, tak macam negara-negara Arab. Tanahnya kini subur. Cuaca yang tidak menentu bukan lagi faktor penghalang untuk memajukan sesebuah negara. Teknologi canggih memungkin padang pasir pun menghijau dengan pelbagai pokok dan tanaman dalam abad moden ini. Tiada yang mustahil. Bangsa Yahudikan bijak-bijak katanya.
Tapi itulah. Bijak pun tak guna kalau asuhan sejak kecil diajar untuk membenci, merompak dan membunuh bangsa ‘goyim’ (Gentile) terutamanya kaum Arab Palestin. Yang mengasuh anak jadi ganas ini bukan kaum Yahudi biasa, tetapi Yahudi Zionis yang hakikatnya sekular, yang hanya menunggang agama Yahudi.
Zionis ini majoritinya bukan dari keturunan asal penduduk Yahudi Palestin, tapi pendatang Yahudi dari Eropah, India, China, Afrika, Amerika Selatan dan lain-lain. Mereka itu bukan Bani Israel asal. Ada beza besar di situ. Dari mana entah datangnya ‘The Law of Return’ itu melainkan dari khayalan ketum dan gam kayu sahaja.
Jadi, dalam tempoh mereka mengganas di Gaza ini, mari pakat-pakat kita ingatkan mereka mengenai JAO ini, suruh mereka pindah ke sana. Yahudi yang tak pernah tahu kewujudan JAO ini pun, saya yakin ramai.
Di JAO hidup mereka akan lebih aman sentosa. Kalau setakat hendak buat Temple of Solomon yang baharu di JAO empat kali ganda lebih besar dari yang di Baitulmaqdis itu pun tak ada masalah bagi Zionis. Keindahan senibina dan alam semulajadi di Birobidzhan dan daerah-daerah dalam JAO boleh dilihat dalam YouTube. Berkumpullah di situ sampai akhir zaman.
Bolehlah masyarakat Muslim dan Kristian Palestin akhirnya menarik nafas lega dan hidup aman damai seperti di bawah kerajaan-kerajaan Muslim satu masa dahulu.
Tak mahunya mereka.
- MN Iman Ramli -
No comments:
Post a Comment