https://www.facebook.com/100001224311252/posts/4512902165427216/
*KENAPA RAUB DAN KAWASAN SEKITARNYA SANGAT BERHARGA KEPADA PENGGANAS KOMUNIS DARI UNIT PENGEMPUR KE-6 (UPK 6)?*
PERINGATAN:
1. Hanya baca sahaja, jangan bertanya apa-apa kerana saya mungkin tak sempat nak jawab.
2. Jangan kaitkan dengan sesiapapun, jangan politikkan kerana ini hanyalah bacaan utk pengetahuan sahaja.
Pertamanya, data overloaded atau terlalu banyak yang saya nak tulis sehingga tak tahu nak mula di mana dan nak cerita yang mana dulu. Ini ialah masalah besar kepada penulis.
Keduanya, perkongsian saya ini tidak berkait dengan isu ceroboh tanah secara haram di Pahang khususnya di Raub.
Ketiga, apabila saya sebut RAUB, bermakna seluruh kawasan di sekelilingnya. Raub terletak antara Banjaran Titiwangsa dengan Banjaran Gunung Benum. Di Raub terdapat 9 buah kampung baru Cina dibawah Rancangan Brigs iaitu penempatan semula orang cina yang di syaki dan dikenal pasti menjadi tali barut atau sumber bantuan logistik kepada pengganas komunis. Kapasiti penduduk ialah 63.3% bumi, 30% cina, 6.4 % India dan .3% lain-lain. Raub ada 29 kawasan penempatan kalau tak silap saya. dan antara penempatan yang sering timbul dalam diari operasi tentera ialah Sg Ruan, Sang Lee, Sg Chaalit, Sg Lui, Sempalit, Cheroh, Tras, Batu Talam dan Dong. Raub ada satu parlimen dan 3 DUN.
UNIT PENGEMPUR KE-6 (UPK 6), PARTI KOMUNIS MALAYA
UPK 6 diketuai oleh Cheong Chor atau Cheung Thian. Beliau ialah Cina dari tanah besar China. Di lahirkan di Daerah Fan Yeun, China. Nanti sebelum settle kisah ni, saya akan storykan profile Cheung Chor ni secara detail kerana dia ialah orang yang bertanggungjawab menubuhkan UPK 6 atas arahan dari Chin Peng. Dan dia juga bertanggungjawab atas perajurit-perajurit tanah air yang terkorban dan tercedera ketika menjalankaan tugas operasi di hutan Pahang.
UPK 6 di bahagikan kepada 6 kumpulan iaitu kumpulan markas atau HQ, Pasukan Kerja Bersenjata Ke 5(PKB 5), Pasukan Kerja Bersenjata Ke 7 (PKB 7), Pasukan Kerja Bersenjata Ke 9 (PKB 9), Pasukan Kerja Bersenjata Ke 15 (PKB 15), dan Pasukan Kerja Bersenjata Karak/Triang (PKB Karak). Apa ke mende UPK atau PKB ni? Ok, UPK ialah Unit Pengempur iaitu kumpulan perang atau unit mengganas pengganas komunis. Kalau dalam ATM, UPK ni macam pasukan infantri la, macam askar Melayu, Macam pasukan renjer. Manakala Pasukan Kerja Bersenjata ialah unit kecil perang mereka yang pergi buat kerja serang hendap kepada pasukan keselamatan, mengacau penduduk, membakar kampung, memusnahkan tanaman dan binatang. PKB ni di bahagikan mengikut KTJ atau AO. Sebelum saya terlupa, UPK 6 ialah kumpulan paling gedebe atau paling ganas yang Parti Komunis Malaya ada. Atau paling berjaya. UPK 6 juga ialah unit yang paling akhir berjaya dimusnahkan.
1. KUMPULAN MARKAS UPK 6
Kumpulan ini di ketuai oleh Cheung Chor sendiri. Mempunyai 39 orang anggota yang terdiri daripada 25 lelaki dan 14 perempuan. Kebanyakaannya ialah pasangan suami isteri. Daripada jumlah 39 orang anggota ini, 30 daripadanya berasal dari RAUB dan paling ramai dari Kg Baru Sg Ruan, 6 orang dari perak dan 3 anggota dari Selangor. Walaupun saya ada data yang sangat rinci mengenai 29 orang ni yang mana saya kumpul atas usaha saya sendiri tetapi saya tak nak citer setiap anggota ini dari kampung mana, rumah no berapa, no IC berapa, nanti panjang berjela. Kita citer yang cantik cantik je. Melihat kepada komposisi asal 39 anggota ini, maka kita akan secara automatik mendapat jawapan kenapa RAUB sangat penting kepada pengganas komunis UPK 6. Kerana depa semua dari sini.
2. PKB Ke 5 (KTJ: Sg Penjuring, Bentong dan Bkt Tinggi)
Mempunyai 11 orang anggota yang mana 9 anggota dari Kg Baru Sg Ruan dan 2 anggota lagi dari Selangor.
3. PKB Ke 7
Di anggotai oleh 9 anggota yang mana 7 orang dari RAUB dan 2 orang dari Perak.
4. PKB Ke 9 (KTJ: Sg Ruan, Klau)
Dianggotai oleh 6 orang yang semuanya berasal dari Kg Baru Sg Ruan.
5. PKB Ke 15 (KTJ: Kuala Kerau, Kerdau dan Lanchang)
Hanya mempunyai 4 anggota sahaja yang mana 2 orang dari Kerdau dan 2 orang lagi dari Perak.
6. PK
B KARAK/TRIANG
Dianggotai oleh 8 anggota. 7 orang dari Pahang ( 1 orang dari Sg Ruan, 5 orang dari Triang, seorang dari Kuala Lips dan seorang lagi dari Melaka.
FAKTOR-FAKTOR KEPENTINGAN RAUB KEPADA PENGGANAS KOMUNIS UPK 6
1. Ahli Ramai Dari Raub. Melihat kepada statistik keanggotaan dan asal usul mereka, yang mana UPK 6 mempunyai seramai 77 orang anggota, dan 61 daripadanya berasal dari Pahang khususnya RAUB. Bermakana 79% anggota pengganas komunis UPK 6 berasal dari RAUB.
2. Kembali ke Kampung Halaman. Selepas menyerah diri pada Dis 1989, hampir semua pengganas komunis dalam UPK 6 ni memilih untuk kembali ke Raub kerana mereka ada rumah di kampung-kampung baru dan anak cucu mereka masih menetap di situ.
3. Kawasan Operasi (KTJ). Dulu, iaitu tahun 70an dan 80an, Raub ialah kawasan hutan. Di sekeliling Pekan Raub ialah hutan. Bermakna, kawasan disekeliling Pekan Raub ialah kawasan operasi pengganas komunis dari UPK 6. Mereka berlari di belakang rumah iaitu hutan. Bermakna kawasan ini mempunyai nilai sejarah yang tinggi dengan perjuangan mereka.
4. Kebun Getah Haram dan Ladang Sayur Haram. Semasa operasi dulu, kami seringkali terjumpa kebun sayur haram di tengah hutan, kebun getah haram yang bersebelahan dengan hutan dan kebun durian haram di kawasan Sang Lee. Oleh kerana lokasi kebun sayur, kebun getah dan kebun durian haram ini bersebelahan dengan hutan, maka ia menjadi sumber bantuan logistik yang sangat banyak dan mudah. Kutipan bulanan di buat di kalangan pekebun yang mana wang kutipan ini diletakkan di pondok-pondok getah, dangau derian, pondok di kebun sayur atau di masukkan dalam mana-mana pot susu getah yang telah di tetapkan. Maka bermakna, mereka memang sudah biasa dengan kawasan ini dan mempunyai ramai rangkaian bantuan.
SIAPAKAH CHEUNG CHOR?
Saya rasa agak perlu untuk mengisahkan siapakah Cheung Chor kerana di dalam kisah ini kertana anda akan mendapat jawapan kenapa ada agaak ramai anggota komunis dari Perak di hutan Pahang dalam UPK 6.
Pada awalnya, Cheung Chor tidak mengetuai UPK 6 dan belum pun ditubuhkan lagi. Sebaik sahaja tiba di Tanah Melayu dari China pada tahun 1969, Cheung Chor di arahkan oleh Chin Peng untuk menyusup masuk ke Ayer Kala, Perak dengan tujuan menubuhkan unit Min Yuen dan selepas itu menyusup pula ke Tanah Hitam. Pada awal tahun 1972, Cheung Chor telah di serang hendap oleh pasukan Tiger Platoon tentera dan dia lari ke selatan Thailand. Berdasarkan tindakan semasa di serang hendap, Cheung Chor sedar bahawa anggota baru seramai 37 orang yang bersama beliau masih muda, tidak terlatih dan tidak mempunyai pengalaman. Maka dia mula melatih anggotanya di selatan Thailand.
Pada awal Mac 1972, Cheung Chor membawa anggotanya yang sudah di latih ke Kem Por Lah, Ayer kala. Di sini Chin Peng mengarahkan beliau menubuhkan Unit Pengempur Ke-5. Maka pada bulan Apr 1972, dengan rasminya Cheung Chor menubuhkan UPK 5 dan dia sebagai ketua. KTJ UKP 5 melibatkan 14 kawasan iaitu Ayer Kala, Air Bah, Pos Piah, Legap, Jalong, Sg Siput, Tanah Hitam, Lenggong, Ringlet, Bidor, Gopeng, Keramat Pulai, Keledang Saiong dan Tanjung Rambutan.
Pada Jun 1973, sejumlah 42 orang pengganas komunis telah datang bergabung dengan kumpulan Cheung Chor di Kem Landak, Lasah. Kumpulan ini di ketuai oleh Nam Yat. Sebaik sahaja bergabung, kumpulan besar pengganas komunis ini di arahkan oleh markas pusat untuk berpindah kawasan dari Kem Landak ke Tanah Hitam. Berdasarkan rancangan asal Chin Peng; Cheung Chor akan terus mengetuai UPK 5 di Perak dan Nam Yat akan membawa sebahagian anggota dan bergerak ke Pahang bagi menubuhkan UPK 6. Tetapi Nam Yat merayu kepada Chin Peng agar beliau kekal di Perak kerana beliau tidak mampu untuk meredah hutan ke Pahang kerana dia sudah tua dan mengalami sakit lutut. Dia tidak boleh berjalan jauh.
Chin Peng bersetuju dengan rayuan Nam Yat. Maka hanya Cheung Chor dan anggotanya sahaja yang terus bergerak ke Pahang. Cheung Chor memilih laluan melalui Cameron Highland dan setelah tiba di Cameron Highland, Cheung Chor membina dua buah kem sementara di banjaran Cameron Highland. Sej
ak itu, dia mula melatihkan anggotanya dengan kawasan yang baru.
Pada bulan Mei 1973, Chin Peng sudah tidak sabar menunggu dan meminta Cheung Chor dengan segera menubuhkan UPK 6. Justeru pada 1 Okt 1973, dengan rasminya Cheung Chor menubuhkan UPK 6. Pada masa itu Cheung Chor mempunyai 56 anggotaa. Setelah UPK 6 ditubuhkan, Chin Peng memberi kawasan Barat Pahang kepada Cheung Chor iaitu UPK 6. Oleh kerana KTJ baru ini mempunyai banyak penempatan orang asli, maka Cheung Chor menggunakan perkampungan orang asli bagi mengembangkan UPK 6 khususnya di Jerkoh. Tetapi usaha Cheung Chor ini gagal dan dia tidak berjaya mendapat kader baru walaupun seorang. Setelah itu Cheung Chor membuat keputusan bagi memecahkan kumpulannya kepada tiga kumpulan kecil.
1. Kumpulan 1 seramai 34 orang ialah kumpulan beliau yang ia sendiri ketuai. Kumpulan ini kemudiannya bergerak ke KTJ baru di Cheroh, Raub.
2. Kumpulan 2 seramai 8 orang yang diketuai oleh Ah Kang atau Ah Seng yang diarahkan untuk menjalankan tugas Min Yuen di kawasan Jerkoh. (Nota: Ah Kang atau Ah Seng ini berjaya di tangkap oleh Platun Harimau. Sila rujuk Buku Platun Harimau Misi 2 di shopee.com.my/penaceloreng).
3. Kumpulan 3 seramai 14 orang yang diketuai oleh Ah Tak yang di beri KTJ di kawasan Jerantut.
Setelah lima tahun bergerak di kawasan mengikut kumpulan masing-masing, Cheung Chor berjaya merekrutkan anggota baru sehingga berjumlah 170 orang yang hampir kesemuanya datang dari kampung baru di Raub. Cheung Chor berasa sangat selesa dengan kawasan Raub kerana mereka mempunyai rangkaian bantuan logistik yang sangat baik. Tindakan Cheung Chor yang mengembangkan keanggotaannya ke kawasan yang mempunyai populasi penduduk cina yang ramai sangat berjaya di Raub.
Pada tahun 1981, Cheung Chor telah membuat lawatan ke Unit Pengempur Ke-8 di utara kedah. Dan pada ketika lawatan inilah berlaku Serang Hendap Kg Lalang atau Serang Hendap Ulu Legong. Catatan tidak rasmi dan ada yang mengatakan Cheung Chor turut terlibat dalam merancang serang hendap yang paling sadis dan zalim ini. [Kisah serang hendap ini di ceritakan satu persatu dalam Novel Perang - Serang Hendap Kg Lalang. Boleh dapatkan di shopee.com.my/penaceloreng].
Pendekkan citer, pada tahun 1986, kumpulan Cheung Chor telah beberapa kali bertembung dan disergap oleh Platun Harimau dari batalion 2 Askar Melayu dan batalion 8 Askar Melayu. Ramai anggotanya yang berjaya ditembak mati dan ditangkap sama ada cedera ringan atau pun parah. Sehingga akhir tahun 1986, pasukan Cheung Chor hanya tinggal 97 orang sahaja. Serangan Platun Harimau dari Batalion 2 Askar Melayu ke atas kem utama Cheung Chor di Kem Gajah atau Elephant Camp telah menyebabkan Cheung Chor hilang strategi. [Untuk mengetahui kisah serangan Kem Gajah dengan rinci, sila baca buku Platun Harimau Misi 1 dalam Misi Hutang Darah di Bayar Darah. Buku ini boleh di beli melalui Shopee.com.my/penaceloreng]. Penemuan gudang atau food dump pakaian dan bahan makanan di Kem Gajah telah merosakan rancangan Cheung Chor. Ini kerana food dump di Kem Gajah adalah untuk masa depan.
Lantaran serangan itu, Cheung Chor dan kumpulannya lari melalui Sg Rogol dan terus bergerak kem alternatif iaitu Tiger Camp. Platun Harimau bertindak menjejak jalan lari Cheung Chor dan akhirnya Kem Tiger di temui oleh UCIS dari Batalion 8 Askar Melayu dan mereka menyerang kem tersebut.
Apabila dua buah kem besar dan paling selamat berjaya digempur oleh pasukan tentera, Cheung Chor tahu bahawa ada anggotanya yang telah membocorkan rahsia. Lantaran itu, Cheung Chor memilih beberapa anggota yang boleh di percayai dan lari ke sebuah kem lama di kawasan Karak. Walau baaimanapun, semasa dalam pergerakkan itu, kumpulaan Cheung Chor telah bertempur dengan UCIS dari Batalion 1 Renjer. Sejak itu, Cheung Chor tidak lagi percaya kepada mana-manapun anggotanya. Dia akhirnya lari ke Kuala Kubu Baru. Di Kuala Kubu Baru beliau pergi menemui kontak lama beliau bagi membantu beliau melarikan diri. Tanpa beliau sedar, setiap gerak gerinya di Kuala Kubu Bharu sedang diperhatikan olah mataa anak harimau (baca buku Platu
n Harimau Misi 2 - Hingga ke Lubang Cacing).
Cheung Chor seterusnya memohon sahabatnya agar membantu beliau lari balik ke Fan Yuen, China. Dalam proses itu, Cheung Chor telah bergerak ke Kuala Lumpur dan pergi ke Lorong Hj Taib 5 untuk bertemu dengan agen atau talibarut beliau. Sementara menunggu urusan passport dan tiket kapal terbangnya di siapkan, Cheung Chor memilih untuk menginap di sebuah hotel (nama di rahsiakan kerana hotel itu masih wujud) di jalan TA Rahman.
Dan akhirnya pada 2 Mac 1988, Cheung Chor di tangkap di belakang SOGO oleh satu pasukan yang tidak pasti dari mana kerana tidak dikenali. Saya difahamkan, entah betul entah tidak, pada 9 Mac 1988, seorang lagi Cheung Chor di tangkap di kawasan yang berdekatan juga.
Adakah Cheung Chor mempunyai bayang-bayang? Pastikan anda memiliki buku Platun Harimau Misi 3 - Jatuh ke Tanah Jua. Buku ini belum terbit dan akan terbit. Harap bersabar.
Saya harap anda menemui dan mendapat jawapan kenapa RAUB sangat penting kepada pengganas komunis dari Unit Penggempur Ke 6. Saya harap, catatan ini tidak mengecewakan anda.
No comments:
Post a Comment