Wednesday, August 25, 2021

Kenyataan Akhbar MP balik pulau tolak tambak laut

 MP Balik Pulau pun ada Press Statement tapi tak keluar ke media : 



Kenyataan Media – Untuk Siaran

25hb April 2021

KEADILAN MENOLAK PROJEK PENAMBAKAN PULAU PINANG: PEMBANGUNAN HARUS DILAKSANAKAN DENGAN MAMPAN DAN INKLUSIF

Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang bakal mengubah rupa Kota Warisan Pulau Pinang buat selamanya bukan pelan pengangkutan semata-mata. Ianya merupakan pelan pembangunan yang merangkumi penebusgunaan tiga pulau buatan manusia, pembinaan terowong bawah laut, sky lab, LRT, monorel, dua lebuh raya tiga laluan, jejambat, dan dua terowong tiga laluan yang akan merentasi bukit-bukau Pulau Pinang.

Parti Keadilan Rakyat peringkat Pulau Pinang telah bertemu semalam, dan mengambil ketetapan yang berikut:

Projek penambakan laut di bahagian selatan Pulau Pinang bukan sahaja tidak membawa manfaat jangka panjang kepada penduduk negeri, malah akan menghancurkan biodiversiti setempat, menjejaskan keseimbangan alam sekitar dan membawa impak negatif yang tidak dapat dipulihkan. Jangkaan bencana alam patut diambil kira apabila negara seperti Dubai dan Hong Kong yang terkenal dengan pembangunan di tanah tambakan kini berhadapan dengan risiko perubahan iklim.


Sebagai contoh, pulau buatan di Dubai, ‘The Palm Jumeirah’ kini berada dalam keadaan bahaya apabila permukaannya kian mendap akibat peningkatan paras air laut seperti yang telah diingatkan dari awal-awal lagi dalam jangkaan bencana alam. Walaupun terdapat usaha untuk mengurangkan kerosakan alam sekitar, penyelidik percaya bahawa pembinaan pulau buatan tersebut telah menyumbang kepada impak drastik pada flora dan fauna tempatan, hakisan pantai, dan pola ombak. Selain laporan satelit NASA yang mendapati bahawa pulau Palm Jumeirah tenggelam pada kadar 0.20 inci setiap tahun, Greenpeace menggelar pulau-pulau tersebut sebagai "parut" kelodak yang mengkaburkan teluk Arab yang pada suatu masa jernih dengan terumbu karang. 


‘The East Lantau Metropolis’ di Hong Kong juga turut mendapat tentangan hebat daripada para pakar dan ahli akademik berikutan dengan risiko dan kemusnahan yang bakal dihadapi. Malaysia tidak perlu mengikut jejak yang sama yang akhirnya membawa kepada kemusnahan atau kesusahan pada keseluruhannya. Masih tidak terlambat bagi negara kita untuk menggantikan projek penambakan mega ini dengan inisiatif yang lebih baik.


Kerajaan Negeri Pulau Pinang sepatutnya lebih memberi tumpuan kepada usaha menjaga kebajikan penduduk negeri serta menangani impak pandemik terhadap kesejahteraan sosioekonomi berbanding kesungguhan untuk memulakan projek tambak laut. 

Sebelum pandemik melanda, Pulau Pinang merekodkan statistik 13% keluarga yang hidup dalam kemiskinan relatif. Tidak menghairankan bahawa kegawatan ekonomi pasca pandemik membawa kepada kadar kemiskinan yang lebih tinggi, khususnya di Seberang Perai. 

Nelayan pesisir pantai sudahpun berdepan dengan pelbagai kesan negatif akibat projek tambak laut terdahulu. Pendapatan mereka terjejas teruk saban tahun ekoran hasil tangkapan yang semakin berkurangan impak daripada projek tambakan demi tambakan yang dilaksanakan kerajaan negeri sejak 50 tahun lalu. 

Projek pembangunan ini bukan sahaja menjejaskan hasil pencarian para nelayan dan bakal meningkatkan kemiskinan, tetapi turut mengancam keselamatan para nelayan. Penambakan laut akan memerlukan para nelayan memenuhi perjalanan yang lebih jauh untuk memperoleh tangkapan. Kos minyak yang ditanggung juga lebih tinggi, serta masa yang diperlukan untuk menangkap ikan akan bertambah.

Kami ambil maklum bahawa Kerajaan Negeri menawarkan pakej pemberian saguhati serta program-program yang bakal memberi manfaat jangka panjang kepada 1,615 orang nelayan yang terkesan. Walau bagaimanapun, projek ini bakal mengancam kehidupan 4,966 nelayan yang masih tidak jelas mengenai nasib yang akan menimpa mereka sekiranya projek ini diteruskan. 


Ini selaras dengan memorandum yang telah diterima oleh Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat di Pulau Pinang, yang menyatakan bahawa maklum balas persetujuan projek ini hanya diperolehi daripada nelayan separuh masa dan nelayan pencen yang mana memo


randum ini telah menafikan suara nelayan sepenuh masa yang tetap dengan pendirian untuk membantah projek ini.


Kerajaan Negeri harus sedar bahawa saguhati serta pampasan jangka masa pendek tidak mampu menggantikan sumber rezeki nelayan. Pembangunan yang berpandukan kepentingan pemaju hartanah tidak akan memberi manfaat sebenar kepada rakyat. 


Seterusnya, kos penambakan ini tiada bezanya dengan pembaziran dana ketika masyarakat tempatan bergelut menjaga periuk nasi dan semakin dihimpit akibat COVID-19. 


Selain hutang yang akan menjadi beban Kerajaan Negeri, projek yang berasaskan Model Pembangunan Prasarana ini tiada jaminan peningkatan penggunaan yang diperlukan untuk menuntut semula kos perbelanjaan. Parti Keadilan Rakyat menolak pembangunan ini yang akan membolehkan pemaju hartanah mengaut untung sementara penduduk Pulau Pinang terpaksa menanggung kerugian.


Sejak Prasarana ditubuhkan pada tahun 1998 untuk mengambil alih aset LRT Star dan Putra, syarikat tersebut hanya berjaya mendapat keuntungan pada dua tahun, 1999 dan 2000. Ketika PKP dilaksanakan untuk pertama kali pada Mac 2020, Prasarana antara organisasi yang terjejas teruk apabila kehilangan 95 peratus penumpang pengangkutan awam di bawahnya.


Walaupun kelulusan telah diberikan dengan 72 syarat, proses perundangan masih dijalankan dan tidak boleh diabaikan. Seperti kes Taman Rimba Kiara pada tahun lepas, Kerajaan Negeri wajar menghentikan kerja-kerja persediaan sehingga proses perundangan tamat. Tindakan tergesa-gesa Kerajaan Negeri untuk memulakan penambakan tidak menghormati proses undang-undang yang sewajarnya. 


Penelitian semula juga harus dilakukan terhadap laporan yang diterima oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkenaan kesan penilaian alam sekitar (EIA) projek ini daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang disertakan bersama-sama 72 syarat dan nasihat yang perlu dipatuhi kerajaan negeri. Syarat-syarat tersebut seharusnya dijelaskan secara lebih terperinci agar keadaan dan kepentingan semua pihak dapat dijaga. Kerajaan pusat yang turut merangkumi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak boleh melepaskan tangan dan harus menjalankan peranan mereka untuk meneliti serta membangkitkan isu yang relevan. 


Kerajaan negeri haruslah bertanggungjawab memastikan masa depan yang cerah dengan kesinambungan peluang ekonomi bagi komuniti nelayan. Pembangunan kerajaan negeri Pulau Pinang boleh dirancang dengan mampan, lestari, inklusif, dan strategik yang jauh lebih baik agar ianya membawa hasil yang sama dengan kos yang lebih relevan serta tidak membawa sebarang implikasi negatif pada lautan dan alam sekitar serta rakyat Pulau Pinang khususnya.

No comments:

Post a Comment